Sunday 21 August 2016

Sejarah Petaling Street, Kuala Lumpur.

Pengenalan
Kuala Lumpur merupakan ibu negara kepada negara Malaysia. Kuala Lumpur juga dikenali sebagai bandar terbesar di Malaysia. Pada tahun 1974, Kuala Lumpur telah dipisahkan daripada negeri Selangor dan menjadi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kawasan Wilayah Persekutuan yang meliputi tanah seluas 244 kilometer persegi. Kuala Lumpur tergolong dalam sebuah kawasan metropolitan besar yang turut meliputi sebahagian besar negeri  Selangor iaitu Lembah Klang sebuah kelompokan bandar yang diduduki 7.2 juta orang, dan juga bandar metropolitan yang paling pesat membangun di negara dari segi bilangan penduduk dan ekonomi.
Sejarah Kuala Lumpur bermula pada tahun 1875. Pada masa itu, ketua Melayu Klang Raja Abdullah telah membuka  lombong timah kepada buruh daripada negara China. Perkara ini turut menarik ramai orang buruh Cina membanjiri Kuala Lumpur untuk mengusahakan kawasan perlombongan itu. Sungai Gombak pernah dikenali sebagai Sungai Lumpur, maka nama asal untuk bandar ini ialah “Pengkalan Lumpur. Lama-kelamaan, tempat ini telah diberi nama Kuala Lumpur. (Toeh Chee Keong, The Disappearing Kuala Lumpur, Selangor, Mentor Publishing Sdn Bhd, 2012,  m/s 22 )
Jalan Petaling merupakan Chinatown kepada masyarakat kaum Cina yang sudah lama menduduki Kuala Lumpur. Dalam bahasa Cina Jalan Petaling dibaca sebagai ‘Cíchǎng Jiē’ Jalan Petaling mendapat nama sebagai ‘Cíchǎng Jiē’ kerana terdapat satu cerita di sebaliknya. Pada tahun 1880, Yap Ah loy telah membuka sebuah kilang memproses ubi kayu menjadi serbuk untuk dieksport ke luar negara. Justeru, Jalan Petaling mendapat nama sebagai ‘Cíchǎng Jiē’ dan perkataan ‘Cíchǎng’ juga bermaksud ubi kayu. Kilang tersebut telah ditutup pada tahun 1881 kerana perniagaan telah bertemu dengan kegagalan. Namun demikian, kilang tersebut memang pernah wujud di kawasan Chinatown. ( Teoh Chee Keong, The Disapperaing Kuala Lumpur, Selangor, Mentor Publishing Sdn Bhd, 2012, m/s 18 ) Oleh itu, ‘Cíchǎng Jiē’ atau Jalan Petaling masih digunakan oleh masyarakat Cina sehingga hari ini. Manakala untuk nama Jalan Petaling terdapat dua  penjelasan yang berlainan iaitu yang pertama sekali, terdapat sebuah gunung di sebelah Chan Clansmen Study Hall juga dikenali sebagai Chan She Shu Yuen Temple dalam bahasa Cina  iaitu Petaling Hill. Pada masa itu, Petaling hill merupakan sebuah tempat perkuburan. Yang kedua pula ialah petaling merupakan nama sebuah buku. Sehingga masa ini, asal usul nama Jalan Petaling masih tidak dapat dikenal pasti. (Teoh Chee Keong, Asal usul Nama Jalan Petaling, Perenggan 2, 26 Mac 2009, http://petalingstreetstory.blogspot.com)
Pada masa dulu, kawasan China Town hanya mempunyai dua jalan yang penting iaitu Jalan Petaling dan juga High Street. Pada masa ini, kawasan China Town telah bertambah kepada banyak jalan dan telah menjadi salah satu jalan yang mesti dilalui oleh kereta jika ingin pergi ke bandaraya. Jalan-jalan yang terdapat di kawasan China Town termasuk Jalan Sultan, Jalan Tun H.S. Lee, Jalan Cheng Lock, Jalan Hang Lekir, Jalan Hang Kasturi, Jalan Panggung dan Jalan Balai Polis.




Aktiviti/Kegiatan/ Perniagaan Tradisional
Kebanyakan orang Cina berhijrah ke Tanah Melayu adalah untuk mencari rezeki kerana masalah kebuluran yang semakin serius di negara asal mereka. Kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh masyarakat Cina di Tanah Melayu boleh dibahagi kepada dua kategori iaitu dalam sektor perlombongan, perindustrian, dan pertanian serta kegiatan aktiviti yang dijalankan oleh rakyat biasa yang kelasnya sederhana dan rendah setakat untuk menyara kehidupan. Oleh itu, masyarakat Cina boleh dikatakan telah membantu memacu ekonomi Tanah Melayu. Kegiatan ekonomi masyarakat Cina pada masa itu telah tertumpu di Chinatown terutamanya di Jalan Petaling dan Jalan Sultan yang merupakan pusat perniagaan utama.
Bagi kegiatan ekonomi yang memerlukan kemahiran serta pengetahuan, aktiviti ini biasanya didominan oleh kaum lelaki manakala kaum wanita pada masa itu hanya menjadi suri rumah ataupun menjahit baju untuk dijual bagi menyara hidup. Kegiatan ekonomi ini adalah seperti menggunting rambut, membaiki kasut, menganyam bakul rotan, membuat tanglung dan juga menilik nasib. Selain daripada itu, kuli yang berhijrah ke Tanah Melayu adalah mereka yang buta huruf. Oleh itu, terdapat juga penulis surat di Chinatown yang profesional untuk membantu kuli-kuli ini menulis surat untuk dikirim balik kepada ahli keluarga di China. ( Ser Wue Hiong, Teoh Chee Keong, dan Teoh Chee Keong, Centre for Malaysian Chinese Studies ,Moving Mountains: A Pictorial of the Chinese in Selangor and Kuala Lumpur Volume 1, Kuala Lumpur, Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, 2012 m/s 118) Manakala bagi mereka yang mempunyai modal, mereka akan membuka kedai-kedai runcit yang menjual pelbagai jenis barang kehidupan harian.
Selain daripada itu, terdapat juga kegiatan ekonomi yang lain seperti menjual sayur-sayuran dan buah-buahan, berniaga menjual makanan laut dan sebagainya. Manakala kuli-kuli akan menyumbangkan tenaga mereka dengan menjadi penarik beca, mengangkat barangan yang berat dari satu tempat ke satu tempat.

Perubahan Chinatown semasa zaman penjajahan British
Pada zaman dahulu semasa Yap Ah Loy memerintah Kuala Lumpur, beliau telah membangunakan Kuala Lumpur dengan sistem pentadbiran yang konservatif. Beliau membangunakan Kuala Lumpur dengan mengaplikasikan sistem pentadbiran persatuan-persatuan Cina dalam membangunkan Kuala Lumpur. Cara pentadbiran ini telah menyebabkan banyak masalah telah timbul di Kuala Lumpur seperti perancangan yang tidak teratur dan juga masalah dari segi kebersihan bandar.  Kebanyakan bangunan dan kawasan perumahan telah dibina tanpa mendapat kebenaran dan perancangan daripada pihak berkuasa.( Teoh Chee Keong, Kuala Lumpur Under British Rule, Selangor, Mentor Publishing Sdn Bhd, 2007, m/s 103) Situasi ini telah menyebabkan masalah kebakaran dan penyakit berjangkit sering berlaku. Pada 4 Januari 1881, pernah berlakunya kemalangan kebakaran yang sangat serius sehingga menyebabkan 500 keluarga kehilangan rumah dan tiga orang meninggal dunia. ( Teoh Chee Keong, The Disappearing Kuala Lumpur , Selangor, Mentor Publishing Sdn Bhd, 2012, m/s 41 ) Pada bulan Disember tahun yang sama, berlakunya banjir kilat yang telah memusnahkan kebanyakan bangunan dan pada masa yang sama, Yap Ah Loy telah kehilangan hampir semua harta bendanya. Masalah ini berlarutan sehinggan pada tahun 1882 Frank A Swettenham dilantik sebagai Residen Selangor. Beliau telah mengambil keputusan untuk membina semula bangunan-bangunan di bandar Kuala Lumpur secara keseluruhan. Beliau juga berpendapat bahawa bangunan yang bakal dibina semula mesti berfungsi sebagai penghalang banjir dan kebakaran. Projek ini telah dimulakan pada bulan September tahun 1884.
Chinatown juga salah satu kawasan yang terlibat dalam projek begitu besar ini, antara jalan yang terlibat ialah High Street. ( Teoh Chee Keong, Kuala Lumpur Under British Rule, Selangor, Mentor Publishing Sdn Bhd 2007, m/s 108)
            Rancangan pembinaan semula bangunan ini telah berlangsung sehingga tahun 1887 dan pada masa itu bandar Kuala Lumpur termasuk Chinatown mempunyai 581 bangunan berkonkrit. Semasa zaman penjajahan British pada tahun 1884, Frank Swettenham telah menggerakkan pembangunan semula bandar untuk menangani masalah yang wujud semasa pentadbiran Yap Ah Loy. Tidak dapat dinafikan bahawa isu kebersihan bandar merupakan isu yang paling dititik berat oleh pihak British pada masa itu. Oleh itu, Frank Swettenham telah memperuntukkan sejumlah wang dalam penyata kewangan 1883 untuk membantu mengatasi masalah ini.
Pada tahun 1884 hingga 1890, sampah-sarap yang telah dikutip akan dihantar ke kawasan yang berdekatan dengan Jalan Pudu untuk ditanam. Kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh pekerja-pekerja yang diupah daripada Sri Lanka, dan banduan penjara. Selain itu, pasukan polis yang dikendali oleh Kaptain Syed juga bertanggungjawab meronda di bandar Kuala Lumpur untuk mengekalkan kebersihan dan kecantikan yang agar penduduk-penduduk tidak mengulangi sikap buruk mereka yang tidak mementingkan kebersihan.
Pada Mei 1890, satu rang undang-undang iaitu A Regulation-No. VII of 1890 telah dibentang dan diluluskan dalam mesyuarat Selangor. Pihak Selangor telah menubuhkan jawatankuasa yang dikenali sebagai Sanitory Board di kawasan Kuala Lumpur, Kuala Kubu dan Klang. Oleh itu, Kuala Lumpur Sanitory Board telah ditubuhkan dan beberapa orang telah dilantik untuk mengetuai jawatankuasa ini bagi sesi 1890/1891. Seorang akauntan bagi negeri Selagor iaitu Alfred Reid Venning telah dilantik menjadi pengerusi.Ahli-ahlinya terdiri daripada kakitangan awam iaitu H.F Bellam dan A.W Sinclair ,peniaga British iaitu G.Murray Campbell dan F.G West, Raja-raja Melayu iaitu Raja Laut dan Raja Bot dan juga pemimpin-pemimpin Cina iaitu Kaptain Yeap Kwan Sin dan Chow Ah Yeok.
Setelah jawatankuasa ini telah ditubuhkan, mereka mendapati bahawa keadaan kebersihan dan masalah yang dihadapi sebelum ini sudah dapat diatasi dan ditangani dengan baik. W.E Maxwell dalam laporan tahunan Selangor pada tahun 1890 mengatakan bahawa,
 “ Dalam jawatankuasa ini, orang Cina dan Mohamedans dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan orang Eropah. Usaha dan kerjasama yang diberi oleh ahli-ahli daripada badan kerajaan ataupun badan bukan kerajaan amat memuaskan. Dengan ini, pemandangan dan jalan-jalan bandar telah menunjukkan perubahan yang besar.” ( Selangor Annual Report 1890, para. 61)
Jawatankuasa ini juga bertanggungjawab kerja-kerja pengurusan yang lain seperti mengutip sampah-sarap, meyenggara tiang-tiang lampu, membaiki jalan,mengeluarkan saman kepada penduduk-penduduk yang tidak menjaga kebersihan, meneroka kawasan perhutanan, memperluas jalan raya, membina longkang bersimen, membina pasar-pasar baru, menempatkan tanda jalan dan sebagainya.
Pada Januari 1891, Alfred Reid Venning telah menghantar laporan mengenai keadaan pengurusan di bandar Kuala Lumpur selepas enam bulan jawatankuasa ini ditubuhkan. Demi menambahbaikkan kebersihan alam sekitar, Sanitary Board Kuala Lumpur telah mengambil keputusan untuk membina longkang konkrit yang berukuran 3 meter untuk mengalirkan air di Jalan Sultan, Jalan Cecil,Jalan Rodger, Jalan Wayang, dan Jalan Petaling. Projek ini telah menggunakan kos sebanyak 14,081.27 dolar. ( Selangor Government Gazette, 23 January 1891, no 46, para. 15 . Open brick drains. )

Tokoh-tokoh yang berjasa
Segala urusan pentadbiran adalah di bawah pemimpin-peminpin pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India sebelum penjajahan British. Pada masa itu, Kapitan Cina merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap urusan pentadbiran di bandar-bandar yang terdapat banyak penduduk berbangsa Cina. Kapitan Cina merupakan seorang individu yang menjalankan tugasnya atas kuasa daripada pemerintah dan disokong sebulat suara oleh masyarakat Cina. Kapitan Cina telah memainkan peranan yang penting dalam membangunkan Chinatown. Mereka bukan sahaja menubuhkan persatuan-persatuan di kawasan tersebut malah mempunyai pengaruh yang besar terhadap masyarakat Cina pada masa itu. Kuala Lumpur mempunyai lima orang Kapitan Cina pada tahun 1861 sehingga 1901. Kelima-lima orang Kapitan Cina ini telah memberi sumbangan yang besar dalam memajukan Chinatown. Mereka ialah Kapitan Hiu Siew ( 1861-1863), Kapitan Liu Ngim Kong ( 1863-1868), Kapitan Yap Ah Loy ( 1868-1885), Kapitan Yap Ah Shak ( 1885-1889) dan akhir sekali Kapitan Yap Kwan Seng ( 1889-1901).  Daripada 5 orang Kapitan ini, Kapitan yang banyak menyumbangkan tenaga dalam kemajuan Chinatown ialah Kapitan Yap Ah Loy.
Kapitan Yap Ah Loy telah dilantik menjadi Kapitan Cina setelah mendapat pengiktirafan daripada Sultan Mahmud Shah. Pada tahun 1868 Kapitan Yap Ah Loy dilantik menjadi Kapitan, bermulanya Perang Saudara Selangor sehingga tahun 1873. Selepas Perang Saudara ditamatkan, Kuala Lumpur berada dalam keadaan yanh huru-hara terutamanya tempat perlombongan. Oleh itu, Kapitan Yap Ah Loy telah memikul tanggungjawab yang besar dalam membangunankan semula bandar Kuala Lumpur, menarik minat pelabur-pelabur datang ke Kuala Lumpur serta mengekalkan keamanan bandar Kuala Lumpur.
Beliau juga memberi sumbangan yang besar dalam pembangunan dan kemajuan di Chinatown. Sebelum berlakunya Perang Saudara Selangor pada tahun 1868, beliau telah memperuntukkan sejumlah duit yang besar dalam pembinaan jalan raya. Antara jalan yang berada di Chinatown yang dibina oleh Yap Ah Loy ialah High Street. Manakala jalan yang dibina selepas peperangan terdapat Jalan Sultan dan Jalan Petaling. ( Yap Koon See,The Profiles of Malaysian Chinese Leaders (1409-2010) , Selangor, Manland Publishing 2010, m/s 8 )
Pada tahun 1880-an, beliau telah memiliki sebanyak 116 buah kedai di kawasan Kuala Lumpur. Beliau juga memiliki banyak kedai di kawasan Chinatown iaitu 25 buah kedai di High Street, 11 buah kedai di Jalan Petaling, dan 11 buah kedai di Jalan Hang Kasturi. ( Tang Ah Chai, Yap Ah Loy Bertemu dengan Kuala Lumpur, The Association of Kwong Tong Cemetery Management Kuala Lumpur, 2006, m/s 91). Pada 15 April 1885, Yap Ah Loy telah meninggal dunia, umurnya hanya 48 tahun.
Selain daripada lima orang Kapitan Cina yang banyak memberikan sumbangan dalam pembangunan Chinatown, terdapat juga beberapa orang tokoh Cina yang memyumbangkan tenaga mereka dalam kemajuan Chinatown hari ini. Mereka merupakan Chan Sow Lin, Loke Yew dan Chan Chin Mooi.
Chan Sow Lin yang dilahirkan pada tahun 1845 telah datang ke Tanah Melayu semasa umurnya 16 tahun. Beliau pernah menjadi pelombong bijih timah di negeri perak. Selepas berkenalan dengan Loke Yew, beliau telah mengikuti Loke Yew untuk datang ke Kuala Lumpur. Dengan bantuan daripada Loke Yew, beliau telah banyak membantu memacukan ekonomi dengan mendirikan kilang, syarikat serta membawa buruh-buruh daripada negera China. Pada tahun 1897, beliau telah mengasaskan Chan Clansmen Study Hall juga dikenali sebagai Chan She Shu Yuen Temple dalam bahasa Cina  bersama dengan dua tokoh yang lain iaitu Chen Chun dan Chen Xin Xi. Beliau telah menajakan tujuh kedai yang terdapat di Jalan Petaling untuk dijadikan sebagai tempat pembinaan Chan She Shu Yuen. Selain itu, beliau juga merupakan salah satu pengasas penting dalam penubuhan Hospital Tung Shin, Victoria Institution dan Confusion Private School. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1927.
Loke Yew dilahirkan pada tahun 1846 juga merupakan salah satu tokoh yang banyak berjasa kepada masyarakat Cina serta dalam membangunankan Chinatown. Pada tahun 1891 semasa Hospital Tung Shin ditubuhkan, beliau merupakan salah satu pengasas serta penaja yag memainkan peranan yang penting. Di samping itu, beliau merupakan penderma terbesar dalam penubuhan Confusion Private School dan Kuen Cheng Girl school. Beliau telah meninggal dunia pada umur 71 iaitu tahun 1917.
Chan Chin Mooi yang dilahirkan pada tahun 1875 telah datang ke Banting pada 17 tahun untuk mewarisi lombong bijih timah yang diwariskan oleh bapanya. Beliau merupakan seorang yang aktif dalam menyumbangkan tenaga kepada persatuan-persatuan tempatan. Beliau pernah dilantik menjadi bendahari kepada Confusion Private School, Pengurus kepada Kuen Cheng Girl School dan pengarah kepada Yan Keng Benevolent Assiociation. Tokoh yang berjasa ini telah meninggal dunia pada tahun 1944.

Tempat-tempat bersejarah di Chinatown
Chinatown yang telah lama wujud di bandar Kuala Lumpur juga mempunyai beberapa tempat bersejarah yang memainkan peranan dalam masyarakat pada masa itu. Antara salah satu tempat ialah Yan Keng Benevolent Dramatic Association.
Yan Keng Benevolent Dramatic Association yang terletak di persimpangan Jalan Sultan dan Jalan Hang Jebat telah ditubuhkan pada tahun 1920 bulan Jun. Perkataan ‘Yan Keng’ bermaksud menjadikan masyarakat sebagai cermin yang mengharapkan anggota masyarakat dapat berkhidmat untuk orang dan masyarakat, berkhidmat untuk kebajikan semua. . (Ser Wue Hiong, Teoh Chee Keong dan Tang Ah Chai, Centre for Malaysian Chinese Studies Moving Mountains: A Pictorial of the Chinese in Selangor and Kuala Lumpur Volume 1 m/s 222)
Objektif utama Yan Keng Benevolent Dramatic Association ialah mengkaji drama, muzik, koir, seni dan akhir sekali mengutamakan kebajikan masyarakat. Yan Keng Benevolent Dramatic Association ditubuhkan oleh sekumpulan orang yang mempunyai minat yang dalam terhadap seni persembahan iaitu You Shan Quan, Kwok Yun Quan, Su Ping Shen, Ren Wee Miao, Shen Hui dan Liang Ren Fu. Dengan itu, Yan Keng Benevolent Dramatic Association diharapkan dapat mengumpulkan semua anggota masyarakat daripada pelbagai susun lapis yang dapat menyumbangkan idea dan mengeluarkan pandangan mereka.
Duit yang dikumpul akan diderma ke rumah orang tua, hospital dan juga sekolah. Semangat ini harus dicontohi oleh semua orang kerana Yan Keng Benevolent Dramatic Association buan sahaja menyumbangkan tenaga dan usaha mereka dalam aktiviti kesenian seperti koir, drama pentas, dan muzik, malah mereka juga mendermakan duit yang mereka dapat kumpul demi kebajikan masyarakat.

Penutup
Kesimpulannya, China Town, Jalan Petaling merupakan sebuah tempat yang masih ada nilai dan kepentingan sejarahnya sama ada ke masyarakat Cina ataupun negara. Tempat yang bersejarah masih perlu dikaji dari masa ke masa untuk mengetahui sejarah dan cerita di sebaliknya. Mengikut perspektif dan pandangan lain, China Town merupakan tempat bersejarah yang tidak ternilai dan harus dipelihara dari semasa ke semasa.
Generasi muda pada zaman ini sangat bertuah kerana Kuala Lumpur merupakan bandar metropolitan tetapi masih ada tempat yang begitu bersejarah kepada masyarakat Cina. Namun demikian, kebanyakan orang muda pada masa ini hanya menganggap China Town sebagai tempat membeli-belah dan tidak mengetahui sejarah di sebaliknya.
Projek MRT merupakan isu hangat dan menjadi salah satu sebab saya memberi perhatian kepada tempat yang begitu bersejarah ini. Sejak tahun lepas, projek MRT yang dilaksanakan untuk pembangunan bandar dan menyebabkan banyak kawasan terjejas.Projek MRT ini sepanjang 51km dan 31 stesen akan dibina. Salah satu kawasan yang terlibat dalam pembinaan stesen MRT merupakan China Town. Jalan Sultan merupakan jalan yang akan terjejas dan dipengaruhi jika projek MRT dilaksanakan. Terdapat 31 bidang tanah dan kedai akan dibeli oleh pihak pembangunan untuk projek ini.
Walaupun projek MRT masih belum dilaksanakan, namun isu ini telah menjadi salah satu isu hangat pada masa ini dan banyak dibincangkan sama ada di media massa ataupun kalangan rakyat jelata. Ramai orang terutamanya masyarakat Cina telah membantah projek ini dan pelbagai aktiviti telah dijalankan oleh sekumpulan sukarelawan untuk menyedarkan orang ramai bahawa tempat yang bersejarah ini harus dipelihara dan diberi perlindungan daripada pembangunan.
Sebagai seorang pelajar, saya menyedari bahawa setiap rakyat mempunyai tanggungjawab untuk memelihara tempat-tempat yang bersejarah ini agar generasi yang akan datang masih mendapat peluang untuk menghayati sejarah-sejarah yang terdapat di tempat ini dan cerita di sebaliknya.
Oleh itu, saya telah mengambil keputusan untuk membuat kajian mengenai tempat yang bersejarah ini iaitu China Town kerana saya sebagai seorang pelajar yang prihatin terhadap isu-isu dan perkembangan negara saya ingin mengetahui lebih banyak cerita yang terdapat di tempat ini. 

Nota akhir
1.      Teoh Chee Keong, The Disappearing Kuala Lumpur, Selangor, Mentor Publishing Sdn Bhd, 2012.
2.      Ser Wue Hiong, Teoh Chee Keong dan Tang Ah Chai, Centre for Malaysian Chinese Studies, Moving Mountains: A Pictorial History of the Chinese in Selangor and Kuala Lumpur. Volume 1, Kuala Lumpur, Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, 2012.
3.      Teoh Chee Keong, Kuala Lumpur Under British Rule, Selangor, , Mentor Publishing Sdn Bhd, 2007
4.      Yap Koon See, The Profiles of Malaysian Chinese Leaders ( 1409-2010 ) , Selangor, Manland Publishing, 2010
5.      Tang Ah Chai, Yap Ah Loy Bertemu dengan Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, The Association of Kwong Tong Cemetery Management Kuala Lumpur, 2006.










1 comment:

  1. Hard Rock Hotel & Casino, Tampa | Dr.MCD
    › hard-rock 강릉 출장안마동두천 출장안마 hard-rock Hard Rock Hotel & Casino, Tampa 제주 출장샵 Hard Rock Hotel & Casino offers 오산 출장안마 the best in gaming and entertainment, plus weekend 아산 출장마사지 getaways.

    ReplyDelete