Sunday 21 August 2016

SEJARAH PENGGAL 3: SEJARAH MALAYSIA DAN ASIA TENGGARA

BAHAGIAN A: SEJARAH MALAYSIA
BAB 3: NASIONALISME DAN PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA
3.1.2 GERAKAN, PERSATUAN, KELAB, DAN KESATUAN YANG BERKAITAN DENGAN AGAMA,EKONOMI, SOSIAL, DAN POLITIK
            Gerakan Islah, kelab dan kesatuan memainkan peranan penting dalam gerakan kesedaran kebangsaan dalam kalangan orang Melayu. Gerakan Islah , kelab, dan persatuan dipimpinkan oleh golongan intelek yang berpendidikan agama, Inggeris, dan Melayu. Mereka tidak bertindak secara keras terhadap pihak penjajah. Hanya pada tahun 1938, perjuangan berubah menjadi lebih radikal dengan penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM).
A. GERAKAN ISLAH
            Gerakan ini merupakan satu gerakan yang menyeru masyarakat Melayu membetulkan pandangan mereka terhadap agama Islam. Pendorong gerakan ini di Tanah Melayu terdiri daripada Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaludin, Haji Abbas bin Mohd. Taha, dan Syeikh Mohd. Salim al-Kalali. Mereka menggelar diri sebagai Kaum Muda yang menerima pendidikan agama daripada Timur Tengah. Mereka dipengaruhi oleh Gerakan Reformis Islam yang diketuai oleh Syed Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh.
            Gerakan Islah telah menggunakan beberapa saluran untuk menyebarkan idea mereka seperti akhbar dan majalah, masjid dan madrasah, serta novel dan cerpen. Akhbar dan majalah yang terlibat adalah seperti Al-Imam, Neracha, Idaran Zaman, dan Pengasuh. Beberapa buah madrasah telah digunakan untuk mereka menyebarkan idea mereka dengan lebih luas dan berkesan. Antaranya termasuk Madrasah al-Diniah Kampung Lalang ( 1924 ), Madrasah Al-Hadi ( 1917), dan Madrasah Muhammad ( 1917 ).
            Dalam perjuangan Kaum Muda, mereka menjana ajaran dari sudut kemajuan dunia dan meyeru orang Melayu berpegang pada al-Quran dan hadis. Orang Melayu dinasihati supaya mengetepikan amalan khurafat serta bidaah yang dilarang dalam agama Islam. Ini bermakna orang Melayu pasti akan maju dalam aspek politik, ekonomi, dan sosial jika mengamalkan agama Islam yang sebenarnya. Kaum Muda menunjukkkan sifat anti-penjajah dengan  mengkritik dan mengecam pihak British yang tidak memberikan pendidikan yang cukup dan memajukan orang Melayu. Mereka juga menunjukkkan sifar antibirokrasi elit Melayu dengan  mengkritik raja dan pembesar Melayu yang tidak memelihara kepentingan orang Melayu. Dari segi pendidikan,  Kaum Muda juga amat mementingkan Sejarah dan Bahasa Inggeris selain pendidikan agama. Ibu bapa dinasihati supaya memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak mereka. Mereka juga menggesa agar kaum wanita diberikan peluang pendidikan.
            Namun demikian, perjuangan Kaum Muda juga berselisih dengan Kaum Tua. Kaum Tua menentang idea Kaum Muda kerana menganggap idea Kaum Muda ini telah mengancam kedudukan mereka sebagai elit agama di dalam masyarakat Melayu. Oleh itu, kaum Tua telah menerbitkan akhbar seperti Suara Benar dan Lidah Benar untuk menentang idea Kaum Muda. Hal ini telah menyebabkan Gerakan Islah hanya dapat dijalankan di Negeri-Negeri Selat sahaja kerana Negeri-negeri Melayu telah mengeluarkan undang-undang melarang sebarang buku dan risah serta kegiatan dakwah Islam dilakukan tanpa kebenaran sultan. Dengan ini, Kaum Muda tidak dapat bergerak aktif dan gagal untuk mewujudkan gerakan massa kerana Kaum Tua telah menggunakan pengaruh mereka untuk mendesak sultan dan pihak British mnekan dan menindas mereka.
B. PERSATUAN DAN KELAB NEGERI-NEGERI MELAYU
KESATUAN MELAYU SINGAPURA (KMS)
KMS ditubuhkan di Singapura pada tahun 1926. Pengasasnya merupakan Muhammad Eunos Abdullah dan Tengku Abdul Kadir. KMS merupakan sebuah parti yang sederhana dan tidak menentang penjajahan British. KMS menjadi perantara antara orang Melayu dengan kerajaan Negeri-negeri Selat. KMS sering mengadakan rundingan dengan British berkenaan dengan masalah orang Melayu.
Terdapat tiga tujuan KMS ditubuhkan antaranya ialah menyedarkan orang Melayu tentang kepentingan pendidikan peringat tinggi, mengingatkan kaum Melayu tentang kesan penjajahan orang British dan menyedarkan orang kedudukan sosioekonomi orang Melayu.
KMS telah mencapai beberapa kejayaan dalam perjuangan mereka antaranya termasuk menawarkan biasiswa kepada anak Melayu supaya dapat melanjutkan pelajaran ke seberang laut. Seterusnya, KMS juga berjaya menuntut sebidang tanah khas daripada kerajaan Negeri-negeri Selat untuk orang Melayu Singapura pada tahun 1929. Selain itu, KMS telah memperjuangkan penglibatan wakil Melayu dalam Majlis Perundangan Neger-negeri Selat.
Pada tahun 1937, cawangan-cawangan KMS telah dibuka di Melaka dan Pulau Pinang. Kebanyakan ahli dalam Persatuan Melayu Melaka dan Kesatuan Melayu Pulau Pinang terdiri daripada kakitangan kerajaan tetapi cawangan-cawangan ini tidak seaktif KMS. Pada tahun 1939, beberapa pemimpin KMS terlibat dalam penerbitan akhbar Utusan Melayu. Mereka percaya bahawa jika orang Melayu mempunyai surat khabar sendiri, perjuangan mereka akan berhasil.




PERSATUAN SAHABAT PENA ( PASPAM )
            PASPAM telah ditubuhkan oleh golongan intelektual berpendidikan Melayu pada tahun 1934 untuk mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan orang Melayu. Pemimpin utamanya ialah Syed Alwi, S.M. Zainal Abidin, Sheikh Abdullah al-Maghribi, dan Hamidun bin Mohd. Hasim.
            Dari segi kegiatan perkembangan kegiatan PASPAM, ahli-ahlinya digalakkan menulis dan mengambil bahagian dalam peraduan yang dikelolakan oleh surat khabar Saudara. Pada bulan November 1934, persidangan PASPAM yang pertama telah diadakan di Taiping. Pada tahun 1935, Persaudaraan Sahabat Pena lebih dikenali sebagai Persatuan Sahabat Pena Malaya atau nama ringkasnya PASPAM. PASPAM menerbitkan majalah bulanan pada tahun 1938.
PERSATUAN MELAYU
            Perkembangan Kesatuan Melayu Singapura telah menggalakkan perkembangan kesatuan di negeri-negeri Melayu lain. Persatuan-persatuan negeri yang ditubuhkan pada tahun 1937 hingga tahun 1940 ialah Persatuan Melayu Perak, Persatuan Melayu Pahang, Persatuan Melayu Selangor, Persatuan Melayu Negeri Sembilan ( PEMNAS), Persatuan Kesetiaan Melayu Kelantan dan Kesatuan Melayu Sarawak.
            Persatuan Melayu Selangor yang dipimpin oleh Tengku Ismail bin Tengku Mohd. Yasin merupakan persatuan yang bergiat cergas. Antara perjuangan Persatuan Melayu Selangor ialah mencadangkan jawatan pendaftar dan penolong pendaftar dikhaskan untuk orang Melayu. Selain itu, Persatuan Melayu Selangor menuntut supaya pegawai Melayu ditempatkan di Pejabat Setiausaha Persekutuan dan Negeri. Seterusnya, mencadangkan agar keanggotaan askar Melayu ditambah dan akhir sekali menggesa kerajaan menubuhkan angkatan tentera laut dan udara.
C. KESATUAN MELAYU MUDA
            Persatuan berbentuk separa politik yang pertama di Tanah Melayu dan ditubuhkan pada tahun 1939 yang dipimpin oleh Ibrahim Haji Yaakob, iaitu wartawan akhbar Majlis di Kuala Lumpur. Tujuan penubuhan KMM lebih bersifat politik dan pendaftaran KMM dibuat oleh Mustapha Husein (Naib Ketua KMM) pada Disember 1940.
            Objektif penubuhan KMM ialah mewujudkan perpaduan dalam kalangan pemuda Melayu di seluruh Semenanjung, meningkatkan taraf pendidikan orang Melayu, menghakis sifat kenegerian dalam kalangan orang-orang Melayu, menentang penjajahan British di Tanah Melayu, mengkritik dan menentang golongan feudal dalam masyarakat Melayu, menentang penguasaan ekonomi oleh orang asing, dan menuntut kemerdekaan bersama Indonesia dalam gagasan Indonesia Raya.
           
Pemimpin utama KMM iaitu Ibrahim Yaakob menggunakan akhbar rasmi KMM iaitu Warta Malaya untuk membangkitkan semangat nasionalisme Melayu dan sentimen anti-British. Kegiatan  KMM juga disalurkan melalui ceramah yang dibuat oleh Ibrahim Yaacob. Guru sekolah agama seperti Maahad II Ihya Assyariff turut terlibat dalam KMM. Tindakan radikal KMM menyebabkan British menangkap dan memenjarakan pemimpin-pemimpin KMM seperti Ibrahim Yaakob dan Ishak Haji Muhammad.
            Secara keseluruhannya, KMM gagal mendapat sokongan meluas kerana keradikalan KMM dan perjuangan penyatuan dengan Indonesia, tiada sokongan kewangan dan kemahiran, dan sikap KMM yang antibirokrasi. Hal ini telah menyebabkan KMM gagal mendapat sokongan golongan birokrat yang mempunyai pengaruh kuat dalam masyarakat.
            Namun demikian, sebaik sahaja Jepun menawan Tanah Melayu, mereka telah membebaskan pemimpin-pemimpin KMM yang dipenjarakan. Mereka memberi bantuan kepada pihak Jepun untuk menubuhkan Pembela Tanahair (PETA), sebuah ketenteraaan yang dipimpin oleh Ibrahim Yaacob.

            KMM juga bekerjasama dengan Jepun semasa Perang Dunia Kedua untuk menghalau British dari Tanah Melayu. Antara tindakan yang dibuat ialah menjadi alat propaganda Jepun, membeli akhbar Warta Malaya untuk dijadikan alat propaganda anti-British, menjelajah ke seluruh Tanah Melayu bagi mendapatkan sokongan penduduk tempatan, menubuhkan cawangan KMM untuk menentang British dan mempengaruhi pelajar Maahad II Ihya Assyariff untuk menyediakan kader-kader yang dikenali sebagai tentera semut. 

No comments:

Post a Comment